KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus membuktikan komitmen padu dalam memartabatkan hoki negara apabila memperkenalkan wajah baharu pasukan serta barisan pemain bagi musim Liga Hoki Malaysia (MHL) 2026.
Dalam majlis pelancaran di ibu pejabat TNB, Bangsar hari ini, dua pasukan utama diumumkan iaitu TNB ThunderStars sebagai skuad elit dan TNB Thunderbolts selaku pasukan pembangunan.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad menegaskan, sasaran musim ini bukan sekadar bersaing, malah kembali memburu kejuaraan berganda seperti diraih pada 2024.
“Kami optimis mampu beri cabaran sengit dalam liga dan Piala TNB. Dalam masa sama, TNB kekal komited melahirkan bakat muda melalui sistem pembangunan yang mampan,” katanya.
TNB bukan nama asing dalam saingan MHL apabila telah beraksi sejak 1987 tanpa pernah terlepas musim, sekali gus membuktikan konsistensi sebagai antara kuasa besar hoki tempatan.
DUA PASUKAN, SATU MISI
Bagi musim 2026, TNB mengekalkan struktur dua pasukan dengan ThunderStars diperkuat pemain elit termasuk bakat hasil program pembangunan Thunderbolts.
Langkah ini jelas memperlihatkan kesinambungan ekosistem pembangunan yang telah dibina sejak 2008.
Lebih menarik, tiga pemain muda berjaya menembusi skuad utama musim ini bukti keberkesanan program Thunderbolts sebagai ‘kilang’ bakat hoki negara.
AKSI PEMBUKA TIRAI
ThunderStars bakal membuka kempen dengan aksi Piala Sumbangsih menentang Terengganu Hockey Team (THT) pada 11 April ini, manakala Thunderbolts memulakan cabaran liga berdepan UiTM HA-KPT.
IDENTITI BAHARU, MISI LEBIH BESAR
Penjenamaan semula kepada TNB ThunderStars menjadi simbol evolusi baharu pasukan utama, membezakan mereka daripada skuad pembangunan.
Nama “Thunder” membawa maksud kekuatan dan tenaga, manakala “Stars” melambangkan status elit serta kecemerlangan.
Selari dengan perubahan itu, jersi rasmi baharu turut diperkenalkan dengan reka bentuk moden dan dinamik, mencerminkan semangat kompetitif tinggi kedua-dua pasukan.
Dengan gabungan pengalaman dan tenaga muda, TNB dilihat bersedia kembali menggegar saingan MHL musim ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – IHSAN MEDIA TNB