PULAU PINANG – Penang FC menyatakan sokongan terhadap pendekatan kolektif dalam kalangan kelab bagi memastikan kelangsungan Liga Malaysia terus terpelihara.
Pengerusinya, Jeffrey Chew Gim Eam berkata, semua pihak berkepentingan perlu duduk semeja dan mengadakan perbincangan secara terbuka serta jujur bagi menangani cabaran semasa liga.
Menurutnya, pihak kelab menyambut baik pandangan Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal yang sebelum ini menyeru semua kelab agar bersedia melakukan pengorbanan demi kestabilan jangka panjang saingan domestik.
“Penang FC mengambil maklum pandangan tersebut dan percaya sudah tiba masanya semua kelab berbincang secara telus mengenai keadaan semasa liga,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, cabaran yang dihadapi ketika ini, khususnya melibatkan aspek kewangan dan struktur liga, memerlukan penyelesaian realistik secara bersama dalam ekosistem bola sepak negara.
“Keutamaan kita adalah membina liga yang lebih stabil, kompetitif dan mampan dari segi komersial, sekali gus memberi manfaat kepada kelab, pemain dan penyokong,” ujarnya.
Tambah beliau, Penang FC bersedia menyumbang idea serta memainkan peranan dalam proses membuat keputusan, walaupun ia melibatkan langkah sukar demi kebaikan bola sepak Malaysia.
Dalam masa sama, kelab itu turut menegaskan komitmen untuk terus menjadi sebahagian daripada usaha kolektif dalam memperkukuh masa depan Liga Malaysia serta optimis perbincangan konstruktif akan berlangsung dalam masa terdekat. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Bulletin Mutiara