SHAH ALAM – Konflik melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran yang pada awalnya dijangka berakhir dengan kemenangan pantas kini bertukar menjadi pertembungan berpanjangan apabila Tehran menunjukkan keupayaan luar jangka untuk bertahan dan menyesuaikan diri.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, serangan awal yang menyasarkan keupayaan ketenteraan Iran dilihat gagal mencapai matlamat sebenar apabila negara itu tidak tumbang seperti diramal.
“Pada peringkat awal, serangan berketepatan tinggi dan sasaran terhadap infrastruktur memberi gambaran seolah-olah Iran akan lumpuh.
“Namun realitinya, pengurangan serangan balas bukan bermaksud kekalahan strategik kerana doktrin ketenteraan Iran memang dirangka untuk menyerap tekanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, konflik moden kini tidak lagi ditentukan oleh kekuatan serangan awal semata-mata, sebaliknya bergantung kepada keupayaan sesebuah negara untuk terus bertahan selepas diserang.
Katanya, Iran mengamalkan strategi ‘endurance’ atau ketahanan, bukannya dominasi, dengan memanfaatkan peperangan asimetri, struktur arahan terdesentralisasi serta taktik melengah-lengahkan konflik.
“Iran tidak perlu menang cepat, cukup sekadar tidak tewas. Mereka menggunakan dron, peluru berpandu serta gangguan laluan tenaga bagi memberi tekanan berterusan kepada musuh,” jelasnya.
Tambah beliau, tekanan luar yang sepatutnya melemahkan Iran sebaliknya mengukuhkan perpaduan dalaman negara itu.
“Sejarah menunjukkan tekanan luar sering menyatukan sesebuah negara, bukan memecahkannya. Dalam kes ini, Iran semakin keras pendirian dan tidak menunjukkan tanda untuk berundur,” katanya.
Dalam masa sama, konflik tersebut kini dilihat melebar ke dimensi ekonomi dan geopolitik, termasuk ancaman terhadap laluan tenaga utama dunia seperti Selat Hormuz.
Jelasnya, keadaan itu membuktikan kelebihan teknologi ketenteraan semata-mata tidak lagi menjamin kemenangan mutlak.
“Konsep kemenangan juga perlu ditakrif semula. Ia bukan lagi sekadar menawan wilayah atau memusnahkan musuh, tetapi kemampuan bertahan, mengawal naratif dan menentukan syarat rundingan,” ujarnya.
Beliau menegaskan, Iran mungkin tidak menang secara mutlak, namun negara itu jelas tidak tewas, malah berpotensi mengukuhkan kedudukan strategiknya.
“Daripada ‘epic fury’, konflik ini kini berisiko dikenang sebagai kegagalan strategi. Iran tidak perlu menang, mereka hanya perlu bertahan dan menggagalkan objektif lawan.
“Itulah yang akhirnya mengubah ‘papan catur’ konflik di Asia Barat,” katanya. – DETIK MALAYSIA