KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) melahirkan kebimbangan serius terhadap siri pengeboman besar-besaran oleh rejim Israel di Lubnan, walaupun terdapat kerangka gencatan senjata melibatkan Iran dan Amerika Syarikat.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, laporan antarabangsa menunjukkan lebih 100 serangan udara dilancarkan dalam tempoh singkat, mengakibatkan kemusnahan besar di Beirut serta kawasan lain, dengan angka korban mencecah antara 180 hingga 250 orang dalam sehari selain ratusan cedera.
“Persoalan utama kini, di mana peranan UNIFIL? Pasukan ini diwujudkan untuk memantau penghentian permusuhan dan melindungi orang awam, namun realitinya menunjukkan jurang besar antara mandat dan pelaksanaan di lapangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, situasi semasa turut menyaksikan anggota pengaman cedera dan terkorban, manakala keupayaan operasi mereka terhad akibat konflik berterusan.
“Ini bukan sekadar peningkatan ketenteraan, tetapi kegagalan sistem perlindungan antarabangsa. Gencatan senjata dilihat dilaksanakan secara terpilih, kawasan awam terus menjadi sasaran, manakala undang-undang antarabangsa hanya disebut tanpa penguatkuasaan,” ujarnya.
Tambah beliau, kenyataan kecaman semata-mata tidak lagi mencukupi dalam menangani krisis tersebut.
Sehubungan itu, Mapim menegaskan mandat Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) perlu dikaji semula dan diperkukuh bagi memastikan perlindungan sebenar kepada orang awam dalam konflik berintensiti tinggi.
Selain itu, katanya, Majlis Keselamatan PBB perlu mengambil tindakan segera bagi menghentikan pelanggaran berterusan serta memastikan akauntabiliti ditegakkan.
“Apabila ratusan serangan udara boleh dilancarkan dalam beberapa minit dan meragut nyawa orang awam di kawasan padat, persoalannya bukan lagi sama ada UNIFIL wujud atau tidak.
“Sebaliknya, adakah sistem antarabangsa masih mempunyai keazaman untuk bertindak. Kegagalan bertindak hanya akan memburukkan krisis dan menjejaskan kredibiliti mekanisme keamanan global,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JANAAN AI