ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) menyatakan sokongan terhadap cadangan penganjuran perbincangan meja bulat membabitkan semua pemegang taruh bola sepak tempatan, dalam usaha mencari jalan terbaik memperkukuh masa depan Liga Malaysia.
Menerusi kenyataan rasmi, juara bertahan Liga Super itu mengalu-alukan inisiatif berkenaan yang difahamkan turut mendapat sokongan majoriti kelab yang bersaing dalam saingan domestik.
Menurut JDT, platform tersebut penting bagi membolehkan semua pihak berkongsi pandangan serta membincangkan penyelesaian secara kolektif demi kelestarian dan daya saing bola sepak negara.
Namun begitu, kelab asal selatan tanah air itu berkenaan mencadangkan agar skop perbincangan diperluaskan dengan melibatkan penyokong sebagai sebahagian daripada peserta dialog.
JDT berpendapat wakil penyokong termasuk kumpulan ultras dan kelab penyokong rasmi setiap pasukan wajar diberi ruang untuk bersama-sama menyuarakan pandangan serta cadangan secara terus.
Langkah itu diyakini mampu meningkatkan ketelusan selain merapatkan hubungan antara pembuat keputusan dan komuniti bola sepak tempatan.
Cadangan tersebut hadir ketika semakin banyak pihak dalam arena bola sepak Malaysia menggesa satu perbincangan menyeluruh diadakan bagi menangani cabaran struktur, kewangan dan operasi yang membelenggu liga domestik. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST