SEPANG – Bekas pelumba MotoGP, Hafizh Syahrin Abdullah mempamerkan aksi dominan apabila menjuarai Perlumbaan 1 pada pusingan pembukaan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2026 di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.
Mewakili JDT Racing Team, Hafizh yang memulakan saingan dari petak utama tidak berdepan masalah untuk mengawal perlumbaan dari awal hingga ke garisan penamat.
Menunggang jentera Ducati Panigale V4 R, pelumba negara itu terus mendahului sebaik perlumbaan bermula sebelum secara konsisten melebarkan jurang dengan pencabar lain.
Menjelang pertengahan perlumbaan, Hafizh sudah pun memiliki kelebihan sekitar empat saat ke atas pelumba di tempat kedua, sekali gus meletakkan dirinya dalam posisi selesa.
Momentum cemerlang itu diteruskan hingga ke penghujung perlumbaan apabila Hafizh berjaya menambah jurang kepada lebih lima saat sebelum menamatkan saingan selaku pemenang.
Lebih manis, dia turut mencatat masa terpantas perlumbaan dengan catatan 2 minit 05.677 saat.
Pelumba Jepun, Keito Abe dari SDG HARC-PRO Honda Philippines menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan ketinggalan 4.026 saat.
Kejayaan JDT Racing Team terus diserikan apabila rakan sepasukan Hafizh, Andi Farid Izdihar melengkapkan podium di tempat ketiga, sekali gus menghadiahkan podium berganda buat pasukan itu.
Dua lagi pelumba negara, Azroy Anuar dan Zaqhwan Zaidi masing-masing menamatkan saingan di kedudukan keempat dan kelima, mengukuhkan dominasi Malaysia dalam perlumbaan tersebut.
Kemenangan bergaya Hafizh jelas memberikan isyarat awal bahawa beliau masih antara pencabar utama kejuaraan musim ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ARRC