SEPANG – Pelumba negara, Muhammad Helmi Azman mencuri tumpuan apabila muncul juara Perlumbaan 1 kategori Supersports 600cc (SS600) pada pusingan pembukaan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2026 di Litar Antarabangsa Sepang, semalam.
Mewakili Idemitsu Honda Racing Malaysia, Helmi mempamerkan tunggangan bertenaga untuk menamatkan perlumbaan 10 pusingan sejauh 55.430 kilometer dengan catatan cukup dramatik.
Dia berjaya menewaskan pelumba Thailand, Anupab Sarmoon daripada Yamaha Thailand Racing Team dengan kelebihan tipis 0.293 saat dalam penamat penuh debaran.
Tempat ketiga menjadi milik pelumba Indonesia, Herjun Atna Firdaus yang mewakili Astra Honda Racing Team selepas ketinggalan 3.980 saat di belakang pemenang.
Dominasi pelumba Indonesia turut terserlah apabila Wahyu Nugroho menamatkan perlumbaan di tempat keempat, diikuti McKinley Kyle Paz dari Hong Leong Yamaha Racing di kedudukan kelima.
Seorang lagi pelumba Indonesia, Fadillah Arbi Aditama menamatkan saingan di tempat keenam, manakala wakil negara Kasma Daniel Kasmayudin berada di kedudukan ketujuh.
Pelumba Thailand, Thanat Laoongplio (kelapan) dan seorang lagi wakil Malaysia, Md Izam Ikmal (kesembilan) turut berada dalam kelompok 10 terbaik.
Tempat ke-10 pula menjadi milik pelumba Indonesia, Dimas Ekky Pratama.
Perlumbaan itu turut menyaksikan beberapa pelumba tidak menamatkan saingan termasuk wakil negara, Khairul Idham Pawi yang terpaksa menarik diri selepas lapan pusingan, selain pelumba China, Zhao Tianhao dan pelumba Thailand, Kitsada Tanachot.
Kejayaan Helmi jelas memberi tonik terbaik buat kem Malaysia apabila memulakan kempen ARRC musim ini dengan kemenangan di laman sendiri. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ARRC