ISKANDAR PUTERI – Hasrat juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mengekalkan rekod kemenangan sepanjang musim Liga Super 2025/26 akhirnya tersekat apabila diikat 1-1 oleh Terengganu FC, malam tadi.
Beraksi di Stadium Sultan Ibrahim, skuad Harimau Selatan yang menguasai sebahagian besar perlawanan terpaksa akur dengan ketahanan luar biasa pasukan pelawat.
JDT terlebih dahulu berada di depan menerusi penyudah berbisa Bergson da Silva pada minit ke-23 hasil gerakan tersusun jentera serangan tuan rumah.
Bagaimanapun, Terengganu tidak mudah mengalah apabila terus bangkit mengatur serangan balas sebelum berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-36 menerusi jaringan Ehson Panjshanbe.
Bersambung babak kedua, JDT menggandakan asakan bagi memburu gol kemenangan, namun aksi cemerlang penjaga gol Terengganu, Rahadiazli Rahalim menjadi penghalang utama.
Beberapa peluang keemasan yang terhidang termasuk percubaan Bergson dan Syahmi Safari gagal diterjemahkan kepada jaringan, sekali gus merencatkan momentum tuan rumah.
Malah, Terengganu hampir mengejutkan JDT di penghujung perlawanan menerusi serangan balas pantas, namun percubaan terakhir sedikit tersasar.
Keputusan seri itu menyaksikan JDT terlepas peluang untuk mengekalkan rekod kemenangan penuh musim ini, sementara Terengganu wajar dipuji atas disiplin tinggi dipamerkan sepanjang aksi. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST