PETALING JAYA – Sabah FC mempamerkan aksi bersemangat tinggi untuk mengikat Selangor FC 1-1 dalam saingan Liga Super 2025/26 di Stadium MBPJ, malam tadi.
Skuad Gergasi Merah terlebih dahulu memecah kebuntuan pada minit ke-31 menerusi rembatan padu Faisal Halim dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan penjaga gol lawan.
Namun, kelebihan itu hanya bertahan seketika apabila Sabah bangkit menyamakan kedudukan empat minit kemudian hasil jaringan cantik Fergus Tierney.
Penyerang berdarah Malaysia-Scotland itu mempamerkan aksi individu memukau dengan melepasi beberapa pertahanan sebelum tenang menewaskan penjaga gol Selangor.
Bersambung babak kedua, Selangor terus mengasak dalam usaha memburu gol kemenangan, namun ketangkasan penjaga gol Sabah, Damien Lim menjadi penghalang utama.
Beberapa percubaan termasuk daripada Faisal Halim dan Nooa Laine gagal menemui sasaran, sekali gus memberi ruang kepada Sabah memperkemaskan benteng pertahanan.
Sabah yang lebih selesa bertahan kemudian mengharapkan serangan balas, namun kedua-dua pasukan buntu mencari jaringan tambahan hingga tamat perlawanan.
Keputusan itu menyaksikan Selangor kekal di tangga kedua liga dengan 43 mata, manakala Sabah di kedudukan ke-10 dengan 16 mata, namun tetap meraih tonik berharga hasil aksi kental mengekang salah satu pencabar kejuaraan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – SFC