KUALA LUMPUR – Isu hala tuju dan tadbir urus bola sepak tempatan kembali hangat apabila Ketua Komersial Johor Darul Ta’zim (JDT), Kevin Ramalingam tampil menegaskan semua kelab perlu menggunakan platform rasmi Malaysian Football League (MFL) untuk sebarang perbincangan penting.
Menerusi kenyataan di akaun X miliknya, Kevin mempersoalkan kekeliruan segelintir pihak yang dilihat memilih saluran luar sedangkan MFL sendiri sudah menyediakan struktur jelas untuk membincangkan isu liga.
“Saya tak faham apa yang mengelirukan. Platform itu adalah MFL. Pasukan memiliki liga dan perlembagaan membenarkan mereka bangkitkan perkara untuk dibincangkan,” katanya.
Menurutnya, budaya ‘sembang kedai kopi’ atau perbincangan tidak rasmi memang lumrah dalam kalangan penggiat bola sepak, namun isu besar melibatkan masa depan liga tidak wajar dibincangkan di luar saluran rasmi.
Beliau menegaskan, mesyuarat lembaga pengarah serta kongres rakan kongsi adalah platform sebenar untuk setiap kelab menyuarakan pandangan dan membuat keputusan bersama.
“MFL adalah platform pasukan. Gunakan mesyuarat lembaga dan kongres rakan kongsi,” tegasnya.
Dalam masa sama, Kevin turut menyindir sikap segelintir pihak yang lantang bersuara di media, tetapi gagal memainkan peranan apabila hadir ke mesyuarat rasmi.
“Apa guna cakap kuat di luar, tapi bila datang platform sebenar hanya senyum, minum kopi, makan karipap dan balik tanpa sumbangan,” katanya sinis.
Kenyataan itu hadir ketika perdebatan mengenai hala tuju, kelestarian dan struktur pengurusan Liga Malaysia semakin memuncak, khususnya menjelang perbincangan meja bulat CEO yang bakal berlangsung dalam masa terdekat. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST