ISKANDAR PUTERI – Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Muñoz menyifatkan keputusan seri 1-1 menentang Terengganu FC sebagai satu ‘amaran awal’ buat pasukannya dalam saingan Liga Super Malaysia 2025/26 di Stadium Sultan Ibrahim.
Menurut pengendali dari Sepanyol itu, kegagalan memanfaatkan peluang yang terhidang menjadi punca utama skuad Harimau Selatan tercicir mata di laman sendiri.
“Persembahan kami tidaklah teruk, tetapi jika gagal menukar peluang kepada gol, anda akan dihukum,” katanya selepas perlawanan.
JDT dilihat mendominasi aksi dengan beberapa percubaan berbahaya, namun ketumpulan di hadapan gawang membuka ruang kepada Terengganu FC untuk bangkit dan meraih satu mata berharga.
Dalam masa sama, Muñoz memuji disiplin pertahanan lawan yang berjaya menyekat asakan bertali arus pasukannya sepanjang perlawanan.
Beliau turut mengakui kegagalan menamatkan perlawanan lebih awal memberi peluang kepada pihak lawan menyusun semula taktikal dan melancarkan serangan balas.
“Apabila anda tidak menamatkan perlawanan lebih awal, anda beri ruang kepada lawan untuk menyesuaikan taktikal dan menyerang semula. Pada beberapa ketika, kami kurang matang dalam situasi penting,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau percaya keputusan itu mampu menjadi pengajaran berguna buat pasukan bagi mengelak rasa selesa yang boleh menjejaskan prestasi.
“Ini satu pengajaran. Kami perlu kembali bermain dengan intensiti tinggi dan faham kesilapan yang menyebabkan kami kehilangan dua mata di tempat sendiri.
“Dalam mana-mana sukan, anda tidak boleh terlalu selesa. Keputusan ini perlu menjadi pemangkin untuk kami kembali ke landasan sebenar,” ujarnya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST