SEPANG – Pasukan JDT Racing Team melakar sejarah tersendiri apabila meraih kemenangan berganda sulung pada aksi pembukaan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2026 di Sepang International Circuit, hari ini.
Hafizh Syahrin Abdullah menjadi watak utama kejayaan itu selepas mempamerkan aksi cemerlang dengan menjuarai kedua-dua perlumbaan menggunakan jentera Ducati Panigale V4 R.
Bekas pelumba MotoGP itu tampil cukup dominan apabila menguasai keseluruhan hujung minggu perlumbaan bermula sesi latihan bebas pada Jumaat sebelum melengkapkan kemenangan bergaya dalam Perlumbaan 2, sekali gus menyapu bersih semua aksi.
Kemenangan tersebut menyaksikan Hafizh kini mendahului kedudukan keseluruhan kejuaraan dengan mengumpul 50 mata, sekali gus memberi isyarat awal kemampuannya memburu gelaran musim ini.
Lebih manis, kejayaan itu turut diserikan dengan aksi memberangsangkan rakan sepasukan, Andi Farid Izdihar yang menamatkan kedua-dua perlumbaan di tempat ketiga.
Keputusan itu sekali gus menghadiahkan podium berganda buat JDT Racing Team dan membuktikan kekuatan pasukan berkenaan untuk musim 2026.
Hafizh ketika ditemui selepas perlumbaan meluahkan rasa syukur atas kejayaan tersebut serta berterima kasih kepada semua pihak yang menyokongnya.
“Pertama sekali saya bersyukur dengan kejayaan ini dan ingin berterima kasih kepada semua dalam pasukan, terutama Tunku Ismail Sultan Ibrahim, penyokong serta keluarga yang sentiasa memahami perjalanan karier saya,” katanya.
Dalam pada itu, Andi Farid mengakui permulaan perlumbaannya tidak berjalan lancar, namun berjaya bangkit untuk meraih podium.
“Permulaan sangat tidak baik, tetapi saya berjaya memotong pelumba lain satu demi satu. Saya berpuas hati dengan tempat ketiga ini,” ujarnya.
Sementara itu, pelumba Jepun, Keito Abe berada di kedudukan kedua keseluruhan dengan 40 mata, diikuti Andi Farid di tempat ketiga dengan 32 mata.
Pusingan kedua ARRC 2026 dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand dari 8 hingga 10 Mei depan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JDT Racing Team