SEPANG – Pelumba sensasi negara, Hafizh Syahrin Abdullah dikenakan denda USD500 serta penalti Long Lap susulan insiden selepas menjuarai Perlumbaan 2 pusingan pembukaan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2026 di Litar Antarabangsa Sepang, semalam.
Pelumba elit kategori ASB1000 bersama pasukan JDT Racing Team itu dikenakan tindakan oleh Race Direction selepas didapati melanggar prosedur keselamatan sejurus tamat perlumbaan.
Berdasarkan keputusan rasmi, Hafizh didapati melanggar Artikel 1.21.18 dan 1.21.2.3 dalam peraturan kejuaraan FIM Asia Road Racing Championship.
Insiden berkenaan berlaku sebaik sahaja bendera penamat dikibarkan apabila beliau memperlahankan jentera sebelum berhenti seketika di laluan lurus utama untuk meraikan kemenangan.
Mengikut peraturan teknikal ARRC, pelumba perlu bergerak ke bahagian tepi litar di kawasan selamat sekiranya ingin meraikan kemenangan atau mengambil bendera. Tindakan berhenti di laluan utama adalah dilarang sama sekali kerana boleh mengundang risiko kepada pelumba lain yang masih melengkapkan pusingan penyejukan.
Susulan itu, Race Direction mengenakan dua bentuk hukuman terhadap Hafizh:
- Denda kewangan sebanyak USD500
- Penalti satu Long Lap yang perlu dilaksanakan dalam Perlumbaan 1 pada pusingan ARRC seterusnya
Meskipun dikenakan hukuman, aksi Hafizh di Sepang tetap mencuri tumpuan apabila bekas pelumba MotoGP itu mempamerkan tunggangan dominan untuk muncul juara, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam carta kejuaraan.
Namun, penalti Long Lap pada pusingan akan datang dijangka memerlukan strategi rapi daripada beliau dan pasukan bagi mengurangkan kehilangan masa di litar. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ARRC