KUALA LUMPUR – Konfederasi Bola Sepak Asia Tenggara (AFF) mengesahkan Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak melakukan sebarang kesalahan dalam isu penyertaan pemain yang didakwa “disekat” bagi saingan ASEAN Club Championship Shopee Cup 2025/26.
Keputusan itu dibuat selepas badan induk bola sepak Asia Tenggara tersebut menamatkan siasatan menyeluruh yang dijalankan sebelum ini.
Menurut AFF, tiada bukti prima facie ditemui yang menunjukkan sama ada pihak kelab atau pemain terlibat melanggar kod disiplin mahupun peraturan pertandingan.
“Proses penilaian dibuat secara teliti berikutan kes ini melibatkan pemain yang pernah melalui prosiding antarabangsa. AFF turut menunggu keputusan proses luar tersebut bagi memastikan penilaian dibuat secara adil dan berdasarkan maklumat lengkap,” jelas kenyataan itu.
Hasil penelitian terhadap semua dokumen serta rangka kerja peraturan mendapati tiada sebarang salah laku berlaku.
Dua dapatan utama turut diketengahkan:
- Tiada dokumen palsu atau dipalsukan dikemukakan oleh JDT atau pemain ketika proses pendaftaran.
- Semua pemain yang terlibat memiliki kewarganegaraan Malaysia pada setiap masa berkaitan, sekali gus tidak melanggar kuota pemain import.
Susulan itu, AFF mengesahkan tiada tindakan disiplin akan diambil di bawah kod disiplin dan etika badan berkenaan.
Dalam masa sama, AFF menegaskan komitmen untuk terus menjaga integriti pertandingan serantau dengan memastikan setiap isu kelayakan dan pematuhan ditangani secara telus serta konsisten mengikut piawaian antarabangsa. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST