KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa agar Amerika Syarikat tidak dibenarkan menyertai persidangan keselamatan NATSEC 2026 atas dasar prinsip konsistensi, akauntabiliti dan penghormatan terhadap norma antarabangsa.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pendirian itu bukan didorong sentimen permusuhan, sebaliknya bagi memastikan kredibiliti platform keselamatan tersebut terus terpelihara.
Menurut beliau, mana-mana platform yang memperjuangkan keamanan dan kestabilan tidak boleh dilihat mengiktiraf negara yang didakwa terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam konflik berpanjangan yang menjejaskan populasi awam.
“Dari Gaza hingga ke Asia Barat, dasar yang dikaitkan dengan Amerika Syarikat dilihat menyumbang kepada pencerobohan berterusan, melemahkan undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta melindungi pelanggaran daripada dipertanggungjawabkan.
“Penyertaan tanpa akauntabiliti hanya akan menormalisasikan tindakan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, forum berkaitan keselamatan tidak boleh mengamalkan standard berbeza antara negara, kerana ia akan menjejaskan asas kerjasama keselamatan itu sendiri.
“Keselamatan perlu berteraskan keadilan, kedaulatan dan perlindungan orang awam, bukannya berpaksikan kepentingan geopolitik,” ujarnya.
Tambahnya, sekiranya penyertaan diteruskan tanpa mengambil kira isu berbangkit, ia berisiko menjejaskan kredibiliti NATSEC 2026 selain menghakis kepercayaan negara-negara Global South serta masyarakat sivil.
Sehubungan itu, Mapim menggesa pihak penganjur menilai semula kriteria penyertaan berdasarkan pematuhan kepada undang-undang antarabangsa, selain memastikan elemen akauntabiliti dijadikan syarat utama.
“Suara negara dan masyarakat yang terkesan dengan konflik juga perlu diberikan keutamaan dalam menentukan hala tuju perbincangan.
“Keselamatan sebenar tidak boleh dibina atas keadilan terpilih. Undang-undang mesti terpakai kepada semua, termasuk kuasa besar,” katanya. – DETIK MALAYSIA