KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) bersama Malaysian Global Coalition in Support of Al Quds and Palestine (MGCAP) mengecam sekeras-kerasnya tindakan sekatan berterusan ke atas Gaza oleh Israel serta tindakan maritim bersifat paksaan yang dikaitkan dengan krisis di Selat Hormuz melibatkan Amerika Syarikat.
Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kedua-dua isu tersebut bukan langkah keselamatan biasa, sebaliknya mencerminkan keruntuhan sistem antarabangsa apabila kuasa mengatasi undang-undang.
Menurut beliau, krisis kemanusiaan di Gaza terus meruncing dengan laporan United Nations menunjukkan keadaan kritikal melibatkan perpindahan berulang penduduk serta sekatan bantuan kemanusiaan.
“Mahkamah Keadilan Antarabangsa (International Court of Justice) sebelum ini telah mengeluarkan langkah sementara pada 2024 yang mengarahkan Israel memastikan akses bantuan dan mematuhi kewajipan di bawah Konvensyen Genosid.
“Namun, sekatan, kepungan dan kemusnahan masih berterusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, tindakan menyekat bekalan makanan, ubat-ubatan dan bahan api kepada penduduk awam tidak boleh dianggap sebagai instrumen keselamatan yang sah, sebaliknya merupakan hukuman kolektif.
Dalam masa sama, Mapim turut mempersoalkan situasi di Selat Hormuz yang disifatkan sebagai contoh “standard berganda” kuasa besar.
Laporan media antarabangsa menyebut tindakan menyekat pergerakan kapal ke pelabuhan Iran telah menjejaskan laluan strategik global, dengan International Maritime Organization memaklumkan puluhan ribu pelaut terkesan dan ribuan kapal terperangkap.
“Prinsip undang-undang jelas bahawa laluan maritim antarabangsa tidak boleh ditutup sesuka hati. Kebebasan pelayaran adalah hak di bawah undang-undang antarabangsa.
“Namun, apabila kuasa besar bertindak, peraturan seolah-olah diketepikan,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mapim dan MGCAP menggesa sekatan ke atas Gaza ditamatkan segera, akses bantuan dibuka sepenuhnya serta semua bentuk hukuman kolektif dihentikan.
Mereka turut menuntut ketegangan maritim di Selat Hormuz dihentikan serta kebebasan pelayaran dipulihkan, selain menggesa tindakan segera komuniti antarabangsa termasuk Organisation of Islamic Cooperation dan negara Global South bagi mempertahankan norma undang-undang antarabangsa.
“Dunia tidak boleh terus berpura-pura bahawa undang-undang masih berfungsi apabila orang awam terus menderita dan laluan strategik global boleh disekat tanpa tindakan tegas.
“Keamanan tidak boleh dibina atas kepungan, dan undang-undang tidak boleh bertahan jika dikecualikan untuk pihak tertentu,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JANAAN AI