KOTA KINABALU – Sabah FC menamatkan penantian panjang selama tujuh tahun tanpa trofi selepas menjuarai Piala Cabaran MFL 2025/26 dengan menewaskan Penang FC dalam aksi final penuh dramatik di Stadium Likas, malam tadi.
Selepas terikat 1-1 pada perlawanan pertama, kedua-dua pasukan buntu mencari jaringan apabila aksi timbal balik berakhir tanpa gol hingga ke masa tambahan, sebelum Sabah muncul juara menerusi penentuan sepakan penalti.
Dibimbing jurulatih Juan Torres Garrido, skuad Sang Badak mempamerkan permulaan meyakinkan di hadapan penyokong sendiri dengan beberapa percubaan awal, termasuk peluang terbaik menerusi Jafri Firdaus Chew yang dinafikan penjaga gol lawan.
Penang bagaimanapun tidak mudah mengalah apabila kembali mengimbangi permainan dan hampir memecah kebuntuan menerusi percubaan Tchetche Kipre, namun penjaga gol Sabah, Damien Lim, bertindak cemerlang menafikan jaringan tersebut.
Perlawanan terus berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun kekentalan benteng pertahanan menyaksikan keputusan kekal 0-0 sehingga tamat masa tambahan.
Penang turut melakukan percaturan dengan memasukkan Omid Musawi, namun percubaannya sekadar tersasar, sekali gus membawa perlawanan ke penentuan penalti.
Aksi penentuan itu menyajikan debaran apabila beberapa sepakan gagal disempurnakan, namun Farhan Roslan muncul wira Sabah apabila tenang menyempurnakan sepakan terakhir untuk menghadiahkan kejuaraan buat pasukannya.
Kejayaan itu sekali gus menamatkan kemarau trofi Sabah sejak tujuh tahun lalu, selain membuktikan kebangkitan semula pasukan tersebut dalam kancah bola sepak tempatan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Sabah FC