GELORA JOKO SAMUDRO – Skuad bawah 17 tahun negara mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Kejohanan B-17 ASEAN 2026 selaku naib juara terbaik selepas menewaskan Timor-Leste 2-0, semalam.
Kemenangan itu melengkapkan kebangkitan cemerlang anak buah kendalian Shukor Adan selepas permulaan kempen yang mencabar.
Malaysia tampil yakin dengan menguasai permainan sejak awal sebelum membuka jaringan seawal minit kelapan menerusi penyudah tenang Aniq Thaqif hasil gerakan tersusun jentera serangan.
Bersambung babak kedua, skuad muda negara terus mengekalkan rentak agresif dan berjaya menggandakan kelebihan menerusi jaringan Adam Haikal.
Gol kedua itu sekali gus merencatkan usaha Timor-Leste untuk bangkit, selain membolehkan Malaysia mengawal permainan dengan lebih tersusun hingga wisel penamat.
Keputusan tersebut menyaksikan Malaysia mengumpul enam mata keseluruhan untuk menamatkan saingan Kumpulan A di tangga kedua, sekali gus layak ke pusingan kalah mati.
Momentum positif itu pastinya menyuntik semangat buat skuad negara dalam memburu kejuaraan edisi kali ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM