KUCHING – Kuching City mencipta sejarah tersendiri apabila menewaskan Selangor FC 1-0 pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia 2025/26 di Stadium Negeri, sekali gus mara ke pentas final dengan agregat 2-1.
Selepas terikat 1-1 pada aksi pertama, kedua-dua pasukan turun dengan misi besar, namun skuad “The Cats” lebih tenang memanfaatkan peluang di laman sendiri.
Petrus Shitembi muncul wira apabila meledak jaringan kemenangan pada minit ke-31 menerusi rembatan jarak jauh padu yang menewaskan penjaga gol Kalamullah Al-Hafiz.
Perlawanan semakin memihak kepada tuan rumah apabila Safuwan Baharudin dilayangkan kad merah selepas semakan VAR kerana menghalang peluang jaringan jelas.
Malang berganda buat pelawat apabila Mukhairi Ajmal turut diperintah keluar padang susulan terjahan keras, menyaksikan Selangor terpaksa beraksi dengan sembilan pemain.
Walaupun memiliki kelebihan jumlah pemain, Kuching City gagal menambah jaringan, namun kekal disiplin mempertahankan kelebihan hingga wisel penamat.
Di bawah kendalian Aidil Sharin, Kuching City mempamerkan kematangan tinggi dalam mengawal tempo permainan untuk memastikan tiket ke final menjadi milik mereka.
Kemenangan tersebut menyaksikan Kuching City bakal berdepan juara bertahan Johor Darul Ta’zim pada aksi final Piala Malaysia 2025/26 yang dijadual berlangsung 23 Mei ini di Stadium Nasional, Kuala Lumpur. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – SFC