SIDOARJO – Skuad remaja negara terus mencuri tumpuan apabila melangkah bergaya ke pentas akhir Kejohanan ASEAN B-17 2026 selepas membenam Laos 3-0 dalam aksi separuh akhir di Stadium Gelora Delta, malam tadi.
Anak buah negara tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila kapten, Adam Muqri Muhaizam, mengemudi asakan awal yang menggugat benteng lawan sejak minit pertama.
Hasil tekanan berterusan, Malaysia dihadiahkan sepakan penalti seawal minit ketujuh selepas pengadil, menerusi semakan VAR, mengesan kekasaran pemain Laos, Bounthasak Chandala di dalam kotak penalti sebelum dilayangkan kad merah.
Peluang itu tidak disia-siakan apabila Yusuf Nasrullah Ramli tenang menyempurnakan sepakan untuk meletakkan Malaysia di hadapan.
Empat minit berselang, Malaysia menggandakan kelebihan menerusi rembatan padu Aniq Thaqif Hairulnizam yang menerjah penjuru atas gawang, sekali gus menewaskan penjaga gol Laos, Sankham Thavithong.
Malaysia berpeluang menambah jaringan sebelum rehat apabila sekali lagi dihadiahkan penalti, namun kali ini Yusuf gagal menyempurnakannya selepas ditepis cemerlang oleh Sankham.
Bersambung babak kedua, skuad negara terus mengasak tanpa belas kasihan dan usaha itu membuahkan hasil pada minit ke-57 apabila pertahanan Laos, Nilandone Xayaseng tertampan bola ke gawang sendiri ketika cuba menghalang percubaan Muzakir Fitri Muhamad.
Laos yang beraksi dengan 10 pemain cuba bangkit menerusi percubaan pemain gantian, Vithaya Sophaxay, namun percubaannya tersasar.
Keputusan 3-0 kekal hingga wisel penamat, sekali gus menyaksikan Malaysia mara ke final buat kali pertama sejak 2019.
Dalam aksi penentuan kejuaraan pada 24 April ini, Malaysia bakal berdepan pemenang antara Vietnam atau Australia di venue sama, dengan misi menjulang kejuaraan serantau kini semakin hampir menjadi realiti. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – LFF