JOHOR BAHRU – Kelab gergasi tanah air, Johor Darul Ta’zim FC (JDT) sekali lagi membuktikan dominasi mereka di pentas Asia apabila menyumbang 21.500 mata berharga kepada kedudukan MA Ranking Malaysia.
Sumbangan itu hadir hasil kemaraan Harimau Selatan ke suku akhir AFC Champions League Elite 2025/26, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam hierarki bola sepak Asia.
Berdasarkan kemas kini terkini, Malaysia kini menghuni tangga ke-11 keseluruhan Asia dan keenam bagi Zon Timur dengan jumlah 45.184 mata.
Lebih manis, pencapaian tersebut memastikan slot negara dalam saingan elit Asia bagi musim 2027/28 terus kekal, sekali gus memberi suntikan besar kepada ekosistem bola sepak tempatan.
Konsistensi JDT mara ke peringkat tinggi pertandingan Asia dilihat menjadi faktor utama peningkatan ranking negara, selain mencerminkan kualiti skuad, pelaburan jangka panjang serta struktur pengurusan profesional.
Kejayaan ke suku akhir edisi baharu kejohanan elit itu juga memperlihatkan mentaliti kemenangan yang semakin sebati dalam DNA kelab berkenaan, sekali gus mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AFC