SHAH ALAM – Landskap bola sepak tanah air digegarkan apabila kumpulan penyokong tegar, Ultras Malaya, mengumumkan tindakan memboikot semua perlawanan melibatkan skuad kebangsaan.
Dalam satu kenyataan tegas, Ultras Malaya memaklumkan keputusan itu dibuat selepas menilai pelbagai isu struktur dan pentadbiran yang didakwa masih membelenggu bola sepak negara.
Langkah tersebut disifatkan sebagai antara protes penyokong paling berani dalam sejarah bola sepak Malaysia, dengan pendirian diambil secara kolektif dan terbuka.
Tiga tuntutan utama turut digariskan kumpulan itu sejak 13 April lalu iaitu pembatalan status kerakyatan tujuh pemain, pemulangan penuh pengurusan pasukan kebangsaan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta reformasi menyeluruh dalam ekosistem bola sepak negara.
Menurut kenyataan itu, tindakan “Boikot Fasa 1” berkuat kuasa serta-merta, termasuk tidak hadir atau memberi sokongan kepada mana-mana aksi membabitkan pasukan kebangsaan.
Ultras Malaya turut menetapkan tarikh akhir sehingga 31 Ogos 2026 kepada pihak berkepentingan untuk memenuhi tuntutan berkenaan.
Sekiranya gagal, kumpulan itu memberi amaran akan melaksanakan “Boikot Fasa 2” yang dijangka diperluaskan ke seluruh ekosistem bola sepak tempatan termasuk saingan liga domestik.
Bagaimanapun, mereka menegaskan tindakan tersebut bukan berasaskan kebencian terhadap pasukan kebangsaan atau mana-mana individu, sebaliknya sebagai bantahan terhadap isu tadbir urus lemah, kegagalan sistemik serta dakwaan penyalahgunaan bola sepak bagi kepentingan tertentu.
“Demi Malaysia, pulangkan bola sepak kepada rakyat,” kata kenyataan itu.
Perkembangan tersebut kini meletakkan tekanan kepada pihak berkaitan termasuk FAM serta pengendali liga untuk tampil memberi respons tuntas dalam meredakan kemelut yang tercetus. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – UM’07