Logo KRW
PETALING JAYA – Kelab Liga A1 Semi-Pro, Kelantan Red Warrior FC (KRW), menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan komersial berani yang diketengahkan oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi memperkenalkan model siaran pay-per-view (PPV) sebagai langkah memperkukuh kedudukan kewangan bola sepak tempatan.
Cadangan tersebut dibentangkan dalam sesi meja bulat Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL) baru-baru ini, sebagai sebahagian daripada strategi menyeluruh bagi menangani cabaran kewangan berterusan yang dihadapi kelab-kelab dalam Liga Malaysia.
KRW menyifatkan inisiatif itu sebagai “inovatif dan tepat pada masanya”, selain menggesa MFL menilai cadangan berkenaan secara serius bersama semua pihak berkepentingan.
Menariknya, sokongan itu bukan sekadar teori. KRW telah lebih awal melaksanakan model PPV sepanjang musim Liga A1 Semi-Pro 2025/26 dengan keputusan memberangsangkan apabila merekodkan purata 1,000 penonton berbayar bagi setiap perlawanan.
Menurut kelab itu, pendekatan tersebut berjaya menjana aliran pendapatan konsisten sekali gus membantu menampung kos operasi pasukan.
Pengalaman itu turut meletakkan KRW dalam kedudukan unik untuk membuktikan keberkesanan model PPV jika diperluaskan ke peringkat liga secara menyeluruh.
Dalam sesi sama, Tunku Ismail yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim dilaporkan mengemukakan kertas kerja komprehensif lima muka surat yang menggariskan pelbagai solusi bagi mengatasi tekanan kewangan liga, dengan sistem PPV sebagai teras utama.
Model tersebut dilihat mampu mewujudkan pengagihan hasil yang lebih adil antara kelab, selain mengurangkan kebergantungan kepada sumber tradisional seperti penajaan dan kutipan tiket.
Dalam masa sama, pendekatan digital itu berpotensi memaksimumkan penglibatan penyokong menerusi akses langsung kepada perlawanan, sekali gus mengeratkan hubungan antara kelab dan peminat.
KRW turut berpandangan model itu selari dengan aspirasi “membawa bola sepak kembali kepada rakyat”, khususnya bagi penyokong yang tidak berpeluang hadir ke stadium.
Sehubungan itu, kelab berkenaan menyatakan kesediaan untuk bekerjasama rapat dengan TMJ dan MFL bagi memperhalusi serta melaksanakan cadangan tersebut demi memastikan kestabilan jangka panjang dan daya saing liga.
Pada masa sama, KRW melihat inisiatif itu sebagai sebahagian daripada pelan hala tuju mereka untuk kembali bersaing di peringkat tertinggi, termasuk sasaran beraksi dalam Liga Super dalam masa terdekat. – DETIK MALAYSIA