TOKYO – Bintang Muay Thai muda negara, Johan Ghazali, terpaksa akur dengan kekalahan menerusi keputusan juri kepada wakil Jepun, Shimon Yoshinari pada aksi ONE Samurai 1 di Ariake Arena, hari ini.
Pertarungan tiga pusingan itu menyaksikan kedua-dua jaguh mempamerkan aksi sengit, penuh ketahanan dan semangat juang tinggi di hadapan penyokong tuan rumah.
Pusingan pertama berlangsung berhati-hati apabila kedua-dua petarung lebih banyak mengukur jarak dan masa tanpa melakukan serangan berisiko tinggi.
Memasuki pusingan kedua, Ghazali yang baru berusia 19 tahun meningkatkan rentak dengan melancarkan serangan bertali arus sehingga berjaya menjatuhkan Yoshinari ke kanvas.
Namun, petarung Jepun itu bangkit membalas dengan serangan balas padu yang menjatuhkan Ghazali, sekali gus menghangatkan lagi pertarungan. Ghazali tetap menunjukkan ketahanan tinggi untuk bangkit dan menghabiskan pusingan tersebut.
Yoshinari menguasai pusingan ketiga apabila terus menekan dengan serangan agresif. Beberapa pukulan tepat ke wajah menyebabkan Ghazali berdarah, namun anak muda negara itu enggan mengalah dan terus melawan sehingga loceng penamat.
Selepas tiga pusingan penuh dramatik, juri memihak kepada Yoshinari, sekali gus menyaksikan Ghazali tewas bermaruah di bumi lawan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ONE