SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengecam keras tindakan Israel yang terus menahan secara tidak sah doktor Palestin, Dr. Hussam Abu Safiya di bawah undang-undang yang disifatkan sebagai menyalahi prinsip keadilan dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, penahanan tersebut dibuat tanpa pertuduhan rasmi, tanpa perbicaraan serta tanpa tempoh masa yang jelas, sekali gus merupakan penyalahgunaan instrumen undang-undang.
Menurut beliau, Dr. Hussam yang menjalankan tanggungjawab kemanusiaan merawat pesakit dalam keadaan terkepung kini dihukum hanya kerana melaksanakan tugas profesionalnya.
“Penahanan ini bukan sahaja bersifat penahanan sewenang-wenangnya, malah turut melibatkan pengabaian perubatan dan pelanggaran Konvensyen Geneva serta serangan terhadap prinsip neutraliti perubatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, tindakan pihak berkuasa Israel yang melanjutkan tempoh penahanan sambil menafikan akses kepada rawatan kesihatan dan ubat-ubatan penting memperlihatkan pencabulan serius terhadap hak asasi manusia.
“Penganiayaan terhadap doktor yang berkhidmat kepada orang awam di zon konflik mencerminkan peningkatan jenayah rejim Zionis yang menggunakan undang-undang sebagai alat penindasan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menuntut pembebasan segera dan tanpa syarat terhadap Dr. Hussam Abu Safiya selain menegaskan beliau perlu diberikan rawatan perubatan penuh serta akses kepada bantuan guaman tanpa sekatan.
Mapim turut menggesa badan antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) agar campur tangan segera.
“Komuniti perubatan global juga perlu bangkit menyatakan solidariti terhadap usaha mengkriminalkan petugas kesihatan di Palestin.
“Menahan seorang doktor kerana menyelamatkan nyawa bukan penguatkuasaan undang-undang, sebaliknya satu bentuk penganiayaan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa kegagalan komuniti antarabangsa bersuara hanya akan menggalakkan lebih banyak jenayah perang berlaku.
“Untuk menyembuhkan bukan satu jenayah, tetapi memenjarakan penyembuh adalah jenayah terhadap kemanusiaan,” tegasnya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Al Jazeera