SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyuarakan kebimbangan serius terhadap operasi pemprosesan nadir bumi oleh Lynas Rare Earths di Malaysia, khususnya melibatkan pengurusan sisa radioaktif, keselamatan alam sekitar serta implikasi kesihatan jangka panjang.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid menegaskan, sebagai syarikat berkait Australia yang beroperasi di Malaysia, Lynas bukan sahaja memikul tanggungjawab komersial, malah amanah besar dari sudut etika, alam sekitar dan hubungan antarabangsa.
“Isu pengurusan sisa Water Leach Purification (WLP) dan bahan berbahaya lain masih menjadi kebimbangan masyarakat, pakar serta komuniti setempat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, persoalan mengenai risiko pendedahan jangka panjang terhadap kesihatan awam, terutama kepada penduduk sekitar, kawasan pertanian dan generasi akan datang, masih belum terjawab sepenuhnya.
Mohd Azmi turut menegaskan bahawa Australia tidak seharusnya melepaskan risiko alam sekitar kepada Malaysia semata-mata untuk meraih manfaat ekonomi daripada sumber nadir bumi.
“Malah, Malaysia juga tidak boleh dijadikan tapak pelupusan sisa berbahaya jangka panjang bagi kepentingan industri asing,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan Australia memastikan Lynas mematuhi piawaian keselamatan alam sekitar dan radiasi antarabangsa tertinggi, selain berkongsi tanggungjawab terhadap sisa yang dihasilkan.
Selain itu, mereka turut menuntut pemantauan alam sekitar secara telus dan bebas, di samping menyokong usaha membawa pulang atau menguruskan sisa berbahaya secara selamat dalam jangka panjang.
Dalam masa sama, Mapim mencadangkan semakan menyeluruh terhadap operasi Lynas, pendedahan penuh strategi pengurusan sisa, serta pengukuhan mekanisme akauntabiliti dua hala antara Malaysia dan Australia.
“Tiada negara sepatutnya menanggung beban risiko alam sekitar atau kesihatan secara tidak seimbang demi keuntungan industri asing,” tegasnya.
Tambah beliau, sebarang kerjasama ekonomi perlu berteraskan prinsip keadilan, keselamatan, ketelusan dan tanggungjawab ekologi.
Mapim menegaskan pembangunan tidak boleh mengorbankan maruah manusia, keselamatan alam sekitar serta kedaulatan negara, sambil menggesa pihak berkuasa Malaysia, kerajaan Australia dan badan pengawal selia antarabangsa bertindak segera bagi memastikan isu ini tidak menjejaskan masa depan negara. – DETIK MALAYSIA