MELAKA – Johor Darul Ta’zim (JDT) terus membuktikan dominasi mereka dalam Liga Super Malaysia apabila menundukkan Melaka FC 2-1 di Stadium Hang Jebat, malam tadi.
Walaupun sudah sah bergelar juara liga, skuad Harimau Selatan kendalian Xisco Muñoz tidak mengendurkan rentak apabila kembali ke landasan kemenangan selepas aksi Liga Juara-Juara AFC Elite.
Melaka yang dibimbing E. Elavarasan tampil dengan pendekatan bertahan menerusi formasi 5-3-2, sekali gus menyukarkan jentera serangan JDT yang diketuai Bergson da Silva dan Marcos Guilherme.
Ketua pasukan Melaka, Irfan Zakaria, memainkan peranan penting mengemudi benteng tuan rumah yang berjaya mengekang asakan pelawat hampir sepanjang babak pertama.
Namun, kebuntuan akhirnya terlerai pada minit ke-44 menerusi pemain gantian, Ager Aketxe yang tenang menyudahkan peluang untuk meletakkan JDT di depan.
JDT terus menghukum kealpaan Melaka apabila Marcos Guilherme menggandakan jaringan pada masa kecederaan separuh masa pertama, sekali gus memberi kelebihan 2-0 sebelum rehat.
Bersambung babak kedua, Melaka bangkit dengan kemasukan Aiman Danish dan Che Rashid yang menambah sengat serangan balas.
Usaha itu membuahkan hasil pada minit ke-73 apabila pemain tengah Bosnia, Dino Kalesic meledak gol untuk merapatkan kedudukan 2-1.
Tersentak dengan kebangkitan tuan rumah, Xisco segera melakukan pertukaran taktikal dengan membawa masuk Ajdin Mujagic dan Manuel Hidalgo bagi mengukuhkan kawalan permainan.
Melaka cuba mencari gol penyamaan dalam 10 minit terakhir, namun pengalaman JDT jelas menjadi pemisah apabila mereka berjaya mempertahankan kelebihan hingga wisel penamat.
Kemenangan itu menyaksikan JDT kini mengumpul 64 mata, terus unggul di puncak liga. Mereka dijadual menentang Kuala Lumpur City FC pada 2 Mei sebelum aksi separuh akhir Shopee Cup menentang Buriram United pada 6 Mei.
Sementara itu, Melaka perlu bangkit segera apabila bakal melayan kunjungan Negeri Sembilan FC pada 3 Mei. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST