KUALA LUMPUR – Bintang muda Muay Thai negara, Johan Ghazali melaungkan keyakinan tinggi menjelang pertarungan menentang jaguh Jepun, Shimon Yoshinari dalam aksi ONE Samurai 1 di Ariake Arena, Tokyo.
Aksi kelas flyweight itu dijangka menjadi tumpuan peminat sukan tempur dunia, namun “Jojo” menegaskan dia bukan sekadar memburu kemenangan, sebaliknya mahu menamatkan pertarungan secara knockout (KO).
“Shimon ada banyak kelebihan termasuk calf kick, tapi kami tak terlalu risau. Saya sudah dapat banyak ‘tricks’ daripada Superbon. Ketahanan dia akan diuji habis-habisan. Saya datang dengan mentaliti ‘kill-or-be-killed’,” katanya.
Berlatih di kem elit Superbon Training Camp di Thailand serta Rentap Muaythai Gym di Malaysia, Johan turut mendapat sentuhan legenda pound-for-pound, Superbon bagi memantapkan strategi.
Menurutnya, senjata utama yang bakal menjadi pemisah dalam pertarungan itu adalah tumbukan tangan kanan yang sering menghadiahkan kemenangan sebelum ini.
“Tangan kanan saya adalah senjata utama. Saya sudah menang banyak perlawanan dengannya dan saya tak nampak dia berbeza daripada lawan-lawan sebelum ini,” ujarnya.
Walaupun terkenal dengan gaya agresif, Johan menjelaskan fokus kem latihan kali ini lebih terarah kepada perancangan taktikal dan memperbaiki kelemahan.
“Saya sentiasa beri 100 peratus dalam latihan. Kali ini kami lebih fokus kepada game plan dan baiki kelemahan,” jelasnya.
Bagi Johan, beraksi di Tokyo merupakan satu lagi pentas besar dalam kariernya yang sedang meningkat naik, selain peluang mengharumkan nama Malaysia di bumi Jepun.
“Saya teruja. Pentas besar memang menyeronokkan dan saya bangga wakili Malaysia di Jepun,” katanya.
Walaupun bakal berdepan sorakan penyokong tuan rumah, Johan menegaskan ia tidak akan menjejaskan fokusnya.
“Dalam gelanggang, hanya saya dan lawan. Saya tahu penonton akan sokong dia, tapi itu tak ganggu saya. Kami akan kekal fokus,” katanya.
Kemenangan ke atas Yoshinari bukan sahaja mampu menghadiahkan kemenangan ke-28 buat Johan, malah mengukuhkan reputasinya sebagai antara prospek paling berbisa dalam ONE Championship. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ONE