HORSENS – Piala Thomas 2026 menyaksikan skuad lelaki negara bangkit penuh bergaya untuk menewaskan Pasukan Badminton Lelaki Finland 4-1 dalam aksi kedua Kumpulan B di Forum Horsens, hari ini.
Walaupun dikejutkan pada perlawanan pembukaan, Malaysia mempamerkan ketahanan mental dan kekuatan skuad apabila memenangi empat aksi berturut-turut untuk menguasai perlawanan.
Malaysia terlebih dahulu ketinggalan apabila Leong Jun Hao tewas kepada Joakim Oldorff 17-21, 15-21, sekali gus memberi Finland pendahuluan 1-0.
Namun, kebangkitan pantas dipamerkan Justin Hoh yang menyamakan kedudukan selepas menundukkan Kalle Koljonen 21-14, 21-12.
Momentum Malaysia diteruskan oleh pemain utama negara, Lee Zii Jia yang tampil cemerlang menewaskan Ananda Galvani Daniswara 21-19, 21-10 untuk meletakkan Malaysia di hadapan 2-1.
Kekuatan beregu sekali lagi menjadi senjata utama apabila gandingan Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani menewaskan pasangan Eliel Melleri dan Niilo Nyqvist 21-12, 21-15.
Kemenangan Malaysia kemudian dimuktamadkan dengan penuh bergaya oleh pasangan Soh Wooi Yik dan Tee Kai Wun yang mudah menewaskan Alwar Melleri dan Daniswara 21-7, 21-14.
Dua kemenangan daripada dua perlawanan meletakkan Malaysia kini dalam kedudukan kukuh untuk mara ke suku akhir, sekali gus membawa momentum terbaik menjelang aksi penentuan kumpulan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – BAM