HORSENS – Piala Uber 2026 menyaksikan skuad wanita negara menutup aksi Kumpulan B dengan kekalahan 1-4 kepada Pasukan Badminton Wanita Jepun di Forum Horsens, hari ini.
Bagaimanapun, keputusan itu tidak menjejaskan kemaraan Malaysia ke suku akhir, penampilan pertama dalam tempoh 16 tahun sekali gus mengesahkan kempen peringkat kumpulan yang cukup membanggakan.
Malaysia bermula dengan saingan sengit, namun kekuatan dan pengalaman Jepun jelas menjadi pemisah.
Perseorangan pertama negara, Letshanaa Karupathevan memberi tentangan hebat sebelum tewas kepada pemain bertaraf dunia, Akane Yamaguchi 19-21, 17-21.
Aksi beregu pula menyaksikan pasangan Ong Xin Yee dan Thinaah Muralitharan gagal menandingi kehebatan gandingan elit Jepun, Yuki Fukushima dan Mayu Matsumoto apabila tumpas 9-21, 9-21.
Penguasaan Jepun diteruskan menerusi Tomoka Miyazaki yang menewaskan Wong Ling Ching 21-16, 21-13 sekali gus mengesahkan kemenangan pasukan itu.
Namun, Malaysia tidak pulang tangan kosong.
Beregu negara, Low Zi Yu dan Nor Aqilah Maisarah bangkit penuh semangat untuk menghadiahkan mata tunggal negara selepas menewaskan Rin Iwanaga dan Kie Nakanishi 21-17, 12-21, 21-19 dalam aksi tiga set yang mendebarkan.
Dalam perlawanan terakhir, Goh Jin Wei terpaksa menarik diri akibat kecederaan ketika mendahului 21-19, 3-4 ke atas Riko Gunji situasi yang menimbulkan kebimbangan menjelang aksi kalah mati.
Kekalahan ini menamatkan rekod tanpa kalah Malaysia dalam Kumpulan B, namun kemenangan awal sudah cukup untuk membawa skuad negara melangkah ke suku akhir, sekali gus menyamai pencapaian terbaik mereka dalam kejohanan ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – BAM