KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (mcw) menegaskan pelantikan individu luar menerajui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mampu membawa pembaharuan, namun ia perlu disokong reformasi menyeluruh, bukan sekadar perubahan kosmetik.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, pelantikan dari luar berpotensi memperkenalkan perspektif baharu yang lebih bebas daripada pengaruh dalaman, sekali gus membuka ruang kepada reformasi lebih berani serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kebebasan institusi.
“Langkah ini juga boleh mengurangkan konflik kepentingan dalaman, namun cabaran tetap wujud terutama dari segi pemahaman operasi serta kemungkinan rintangan dalam organisasi,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pelantikan Abdul Halim Aman dilihat sebagai isyarat kerajaan untuk memperkukuh prinsip kedaulatan undang-undang, meningkatkan kualiti siasatan serta memperbaiki imej integriti SPRM.
“Namun mesej itu hanya akan diyakini jika disusuli tindakan yang jelas dan konsisten, bukan sekadar simbolik,” ujarnya.
Mengulas pemergian Azam Baki, beliau berkata langkah itu mungkin meredakan tekanan serta kontroversi dalam jangka pendek, sekali gus membuka ruang pemulihan persepsi awam.
Bagaimanapun katanya, jika isu lampau tidak ditangani secara telus dan menyeluruh, ia boleh menimbulkan tanggapan bahawa perkara tersebut sekadar ditutup tanpa penyelesaian sebenar.
“Persepsi amalan pilih kasih tidak akan hilang dengan sendirinya tanpa tindakan tegas dan konsisten daripada kepimpinan baharu,” katanya.
Sehubungan itu, MCW menekankan bahawa isu sebenar bukan tertumpu kepada individu semata-mata, sebaliknya melibatkan kekuatan sistem untuk berubah secara menyeluruh.
Antara cadangan utama termasuk memperkukuh mekanisme pelantikan yang lebih telus, memisahkan fungsi siasatan dan pendakwaan serta meningkatkan tahap ketelusan dalam setiap tindakan.
“Pertukaran kepimpinan hanya bermakna jika disertai keberanian bertindak tanpa takut atau pilih kasih. Tanpa perubahan sistemik, ia hanya akan dilihat sebagai kitaran lama dengan wajah berbeza,” katanya. – DETIK MALAYSIA