KUALA LUMPUR – Skuad wanita negara akhirnya memecah kebuntuan 16 tahun apabila melangkah bergaya ke suku akhir Piala Uber 2026 selepas membelasah Afrika Selatan 5-0 dalam aksi Kumpulan B di Forum Horsens, awal pagi tadi.
Kemenangan bergaya itu hadir dengan penuh dominasi apabila barisan pemain negara hanya melepaskan satu set daripada keseluruhan lima perlawanan, sekali gus membuktikan peningkatan ketara di pentas antarabangsa.
Aksi perseorangan membuka tirai dengan cukup meyakinkan apabila Letshanaa Karupathevan tidak berdepan masalah menundukkan Johanita Scholtz 21-6, 21-10 menerusi permainan kemas dan penuh kawalan.
Rentak cemerlang itu diteruskan Wong Ling Ching yang tampil garang membenam Chloe Lai 21-8, 21-4 sebelum Siti Zulaikha memastikan Malaysia selesa di hadapan dengan kemenangan 21-11, 21-5 ke atas Elme De Villiers.
Dengan kedudukan 3-0, Malaysia sudah pun mengesahkan kemenangan, namun pasangan beregu tidak mengendurkan asakan.
Gandingan Ong Xin Yee-Carmen Ting terus menguasai gelanggang untuk menewaskan Amy Ackerman-Scholtz 21-16, 21-14, manakala pasangan Chong Jie Yu-Low Zi Yu melengkapkan kemenangan bergaya apabila menyingkirkan Anri Schoonees-De Villiers 21-12, 21-5.
Keputusan tersebut menyaksikan Malaysia meraih dua kemenangan daripada dua perlawanan Kumpulan B, sekali gus mengesahkan tiket ke suku akhir sambil memberi isyarat kebangkitan semula skuad wanita negara.
Lebih manis, pencapaian ini menyamai rekod terbaik Malaysia dalam kejohanan berprestij itu apabila mara ke kelompok lapan terbaik buat kali ketiga selepas edisi 2004, 2008 dan 2010. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Bernama