KUALA LUMPUR – Pelumba muda sensasi negara, Hakim Danish Ramli terus mempamerkan peningkatan memberangsangkan apabila menamatkan saingan di tempat ke-13 pada perlumbaan Grand Prix of Spain Moto3 2026 di Circuito de Jerez – Ángel Nieto, hari ini.
Pelumba berusia 18 tahun yang mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI itu sekali lagi mempamerkan ketenangan serta kematangan apabila berjaya meraih tiga mata kejuaraan dalam perlumbaan yang cukup kompetitif.
Bermula dari petak ke-10 hasil aksi cemerlang dalam sesi kelayakan, Hakim memulakan perlumbaan dengan baik sebelum berjaya menyelit dalam kelompok hadapan sebaik lampu hijau dilepaskan.
Sepanjang perlumbaan 19 pusingan itu, beliau kekal konsisten dalam kelompok perebutan 10 terbaik, sekali gus membuktikan peningkatan dari segi taktikal dan kawalan jentera di pentas dunia.
Walaupun kelompok hadapan mula memisahkan diri ketika saingan memasuki fasa pertengahan, Hakim tetap kekal bersaing sebelum menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-13 dengan catatan masa 33 minit 36.359 saat.
Keputusan itu menyaksikan beliau hanya ketinggalan +12.584 saat di belakang pemenang, Maximo Quiles dari pasukan CFMOTO Gaviota Aspar Team yang mencatat masa 33:23.566.
Tambahan tiga mata itu menjadikan kutipan keseluruhan Hakim kini 12 mata selepas empat pusingan musim ini, satu pencapaian positif dalam proses menyesuaikan diri di pentas kejuaraan dunia.
Prestasi konsisten dalam kelompok mata itu jelas menggambarkan peningkatan keyakinan serta perkembangan positif pelumba muda negara itu di arena antarabangsa. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK Racing