KUALA LUMPUR – Skuad lelaki negara memulakan kempen Thomas Cup 2026 Kumpulan B dengan langkah kanan apabila menewaskan England 3-2 dalam aksi mendebarkan di Forum Horsens, malam tadi.
Kemenangan dramatik itu disempurnakan pemain perseorangan utama negara, Lee Zii Jia yang tampil sebagai wira apabila menghadiahkan mata penentu pada perlawanan kelima.
Malaysia terlebih dahulu dikejutkan apabila Justin Hoh tewas straight set 19-21, 19-21 kepada Harry Huang, sekali gus meletakkan England di depan 1-0.
Namun, pasangan beregu utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik kembali menghidupkan peluang apabila menundukkan gandingan Oliver Butler-Samuel Jones 21-19, 21-13 untuk menyamakan kedudukan 1-1.
Momentum itu bagaimanapun tidak kekal lama apabila England kembali mendahului menerusi kemenangan Cholan Kayan ke atas Sholeh Aidil 21-16, 21-15.
Ketika berada di ambang kekalahan, beregu kedua negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun tampil garang untuk menewaskan Alex Green-Zach Russ 21-14, 21-14, sekali gus mengheret perlawanan ke aksi penentuan.
Segalanya kemudian terletak di bahu Zii Jia – dan pemain itu tidak menghampakan.
Beliau mempamerkan aksi cukup dominan untuk menundukkan Nadeem Dalvi 21-13, 21-11, sekali gus memastikan kemenangan 3-2 milik Malaysia.
Kemenangan penting itu memberi tonik awal buat kem negara dalam usaha memburu kemaraan lebih jauh dalam kejohanan berprestij berpasukan dunia tersebut. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Bernama