JEREZ – Pelumba muda sensasi negara, Hakim Danish Ramli, mempamerkan peningkatan positif pada hari pertama Grand Prix Sepanyol 2026 di Circuito de Jerez – Ángel Nieto, sekali gus memberi bayangan kebangkitan menjelang perlumbaan sebenar.
Mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI, pelumba berusia 18 tahun itu memulakan sesi latihan bebas pertama (FP1) dengan pendekatan berhati-hati apabila mencatat masa 1 minit 46.391 saat untuk berada di kedudukan ke-21 daripada 26 pelumba.
Namun, Hakim Danish tampil lebih meyakinkan pada sesi petang apabila memperkemaskan rentak serta konsistensi tunggangan sebelum mencatat masa lebih pantas 1:44.887s.
Catatan tersebut melonjakkan kedudukannya ke tangga ke-17 keseluruhan, sekali gus memberi suntikan motivasi dalam saingan sengit kelas Moto3.
Sesi tersebut dikuasai pelumba Sepanyol, Maximo Quiles, yang muncul terpantas dengan masa 1:44.078s.
Tempat kedua menjadi milik David Muñoz dari Liqui Moly Dynavolt Intact GP dengan 1:44.119s, manakala Valentin Perrone melengkapkan kelompok tiga teratas selepas mencatat 1:44.325s.
Bagaimanapun, keputusan di luar kelompok 14 terbaik menyaksikan Hakim Danish perlu melalui sesi kelayakan pertama (Q1) hari ini.
Beliau perlu menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas Q1 bagi melayakkan diri ke Q2 sekali gus membuka peluang merebut petak hadapan.
Aksi di Jerez menjadi medan penting buat Hakim Danish untuk terus mengutip pengalaman serta memperbaiki kedudukan dalam kejuaraan musim ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK Racing