KOTA BHARU – Selangor FC mempamerkan aksi luar biasa apabila membelasah Kelantan The Real Warrior 6-0 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.
Kemenangan besar itu mengukuhkan lagi kedudukan Selangor dalam perebutan kelompok dua teratas liga, sekali gus memberi isyarat jelas kebangkitan mereka di fasa penting musim ini.
Selangor bermula garang dan membuka tirai jaringan pada minit ke-25 menerusi Kim Ji-ho yang mencipta gol sulungnya bersama kelab selepas memanfaatkan situasi kelam-kabut dalam kotak penalti.
Gol tersebut menyuntik keyakinan skuad pelawat untuk terus menguasai permainan, sebelum penyerang berbisa, Chrigor Moraes meledak dua gol dalam tempoh tiga minit bagi meletakkan Selangor selesa mendahului menjelang rehat.
Aksi longlai benteng Kelantan terus dihukum apabila bersambung babak kedua, dengan Faris Shah Rosli tertampan bola ke gawang sendiri untuk gol keempat pelawat.
Tidak lama kemudian, Alvin Fortes menambah derita tuan rumah dengan jaringan kelima, sekali gus mematikan terus sisa kebangkitan Kelantan.
Walaupun menurunkan pemain berpengalaman seperti Azam Azih di bahagian tengah, Kelantan gagal mengimbangi dominasi Selangor yang menguasai segenap aspek permainan.
Malam gemilang itu akhirnya menjadi milik Chrigor apabila melengkapkan hatrik untuk memastikan kemenangan bergaya 6-0, sekali gus antara aksi paling dominan Selangor musim ini.
Keputusan tersebut memberi amaran awal kepada pencabar lain bahawa Selangor kini berada di landasan tepat untuk menamatkan musim di kedudukan terbaik. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – SFC