SIDOARJO – Impian skuad bawah 17 tahun negara untuk menjulang kejuaraan ASEAN tidak kesampaian apabila tewas 0-3 kepada Vietnam dalam aksi final Kejohanan ASEAN Bawah 17 Tahun 2026 di Stadium Gelora Delta, malam tadi.
Vietnam bermula garang seawal minit pertama dengan mengasak kubu Malaysia, sekali gus memaksa penjaga gol negara, Adam Nurfakrullah Mohd Fadli bekerja keras menafikan beberapa percubaan berbahaya lawan.
Tekanan berterusan itu akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-11 menerusi jaringan Dao Quy Vuong yang menewaskan benteng pertahanan negara.
Tersentak dengan gol tersebut, anak buah Shukor Adan cuba bangkit dan hampir menyamakan kedudukan menerusi percubaan Nur Azam Muslim Nor Hisham, namun rembatannya sedikit tersasar.
Kegagalan itu mengundang padah apabila Vietnam menggandakan kelebihan menjelang tamat babak pertama hasil jaringan Nguyen Van Duong untuk mendahului 2-0.
Bersambung babak kedua, skuad muda Harimau Malaya tampil lebih agresif dalam usaha merapatkan jurang, namun ketumpulan di bahagian serangan terus menghantui pasukan.
Sebaliknya, Vietnam terus mempamerkan penyudah berbisa apabila Van Duong sekali lagi menemui sasaran pada minit ke-55 untuk gol kedua peribadinya sekali gus mengesahkan kemenangan 3-0.
Keputusan itu menyaksikan Vietnam muncul juara buat kali pertama sejak 2017, selain menutup kempen cemerlang mereka dengan penuh bergaya.
Walaupun terpaksa berpuas hati sebagai naib juara, pencapaian Malaysia tetap membanggakan apabila berjaya mengulangi kejayaan mara ke final seperti edisi 2019.
Di bawah kendalian Shukor Adan, skuad muda negara mempamerkan potensi besar dan dilihat mampu menjadi aset penting buat masa depan bola sepak tanah air, biarpun gagal mengulangi kejayaan menjulang trofi seperti yang diraih pada 2019 di bawah kendalian P. Maniam. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM