KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia mendedahkan peningkatan retorik dan tindakan berunsur provokasi oleh tokoh politik Israel yang didakwa mengancam kedudukan Masjid Al-Aqsa serta berpotensi mencetuskan konflik berskala besar.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata Al-Aqsa bukan sahaja antara tapak paling suci dalam Islam, malah simbol keimanan, identiti dan ketahanan umat Islam di seluruh dunia.
“Sejak kebelakangan ini, wujud peningkatan kenyataan ekstrem yang menyeru kepada pemusnahan Al-Aqsa, pembinaan ‘Kuil Ketiga’ serta tuntutan kawalan eksklusif ke atas kawasan Haram al-Sharif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Azmi memaklumkan, landskap politik Israel kini menyaksikan pengaruh pemimpin berhaluan kanan yang semakin dominan sehingga ideologi radikal mula mempengaruhi dasar negara.
“Antara perkembangan membimbangkan termasuk pencerobohan berulang ke kawasan Al-Aqsa, usaha mengubah status quo serta sokongan terhadap gerakan penempatan yang memperjuangkan perobohan struktur sedia ada,” jelasnya.
Dalam laporan itu, beberapa tokoh politik Israel dikenal pasti mengeluarkan kenyataan dan pendirian yang disifatkan provokatif, antaranya Menteri Keselamatan Nasional, Itamar Ben-Gvir yang menyokong hak solat Yahudi di kompleks berkenaan serta terlibat dalam beberapa lawatan kontroversi.
Turut disebut ialah Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich yang dikaitkan dengan dasar memperluas penempatan serta naratif kedaulatan eksklusif ke atas tapak suci.
Selain itu, aktivis Temple Mount dan bekas ahli Knesset, Yehuda Glick dilaporkan lama memperjuangkan pembinaan semula kuil Yahudi di lokasi Al-Aqsa, manakala Moshe Feiglin pernah secara terbuka menggesa pemusnahan masjid tersebut.
Nama Miri Regev turut disebut sebagai antara pemimpin yang menyokong pengukuhan kawalan Israel ke atas tapak suci di Baitulmaqdis.
Beliau menegaskan, kenyataan dan tindakan itu bukan bersifat terpencil, sebaliknya membentuk pola berbahaya yang merangkumi justifikasi ideologi, normalisasi provokasi serta perubahan dasar secara berperingkat.
“Situasi ini memberi isyarat jelas kepada risiko peningkatan konflik berunsur agama yang boleh menjejaskan kestabilan serantau dan keamanan global,” katanya.
Menurut Mapim, ancaman terhadap Al-Aqsa turut melibatkan pelanggaran undang-undang antarabangsa yang melindungi tapak keagamaan serta mencetuskan implikasi besar terhadap keamanan dunia.
Sehubungan itu, badan berkenaan menggesa United Nations mengambil tindakan segera melindungi Al-Aqsa dan memastikan pihak yang mencetuskan kebencian agama dipertanggungjawabkan.
Mapim turut menyeru Organization of Islamic Cooperation menggerakkan tindak balas bersatu negara-negara Islam serta meletakkan isu Al-Aqsa sebagai agenda utama diplomatik.
“Pemimpin agama dan masyarakat sivil global juga perlu bersuara menentang sebarang usaha memusnahkan tapak suci serta mempertahankan warisan pelbagai agama,” katanya.
Dalam masa sama, Mapim mengutuk sekeras-kerasnya semua kenyataan dan tindakan yang mencabuli kesucian Al-Aqsa serta mengkritik sikap tidak bertindak masyarakat antarabangsa.
“Jika ancaman ini terus dibiarkan, ia bukan sahaja membahayakan Al-Aqsa, malah berpotensi mencetuskan konflik lebih besar dengan kesan global,” ujarnya. – DETIK MALAYSIA