KUALA LUMPUR – Tiga pertubuhan Islam iaitu Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Aliansi Masjid Sedunia Pertahankan Al Aqsa dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia menggesa institusi masjid memainkan peranan lebih aktif dalam menggembleng umat Islam bagi mempertahankan Masjid Al-Aqsa serta membela nasib rakyat Palestin.
Ketiga-tiga badan itu dalam kenyataan bersama hari ini menegaskan, masjid bukan sekadar tempat ibadah, sebaliknya perlu berfungsi sebagai pusat kebangkitan ummah, medan penyatuan dan benteng mempertahankan maruah Islam.
Menurut kenyataan itu, situasi di Palestin yang terus berdepan penindasan dan keganasan menuntut peranan lebih besar daripada institusi masjid dalam membangkitkan kesedaran serta menggerakkan tindakan umat Islam.
“Lebih membimbangkan apabila Masjid Al-Aqsa diceroboh dan ditutup lebih 40 hari sepanjang Ramadan hingga selepas Aidilfitri, sekali gus mencemar kesucian Islam dan hak umat untuk beribadah,” katanya di sini hari ini.
Sehubungan itu, mereka menegaskan masjid perlu kembali menjadi pusat gerakan ummah dengan memperkukuh fungsi dakwah, pendidikan serta advokasi selain menggerakkan mobilisasi masyarakat.
“Mimbar Jumaat juga perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh khatib dan imam untuk mengangkat isu Al-Aqsa secara konsisten sebagai agenda kesedaran umat.
“Selain itu, masjid harus berperanan sebagai pusat solidariti dengan menggerakkan kutipan dana, kempen kesedaran serta bantuan berterusan kepada rakyat Palestin,” jelas kenyataan itu.
Tambah mereka, penyatuan ummah merentasi perbezaan perlu diperkasa melalui institusi masjid memandangkan isu Palestin adalah tanggungjawab bersama yang menuntut tindakan kolektif.
“Gerakan global mempertahankan Al-Aqsa juga perlu disusun melalui jaringan masjid di seluruh dunia bagi meningkatkan tekanan terhadap kezaliman yang berlaku,” katanya.
Dalam masa sama, mereka menyeru semua institusi masjid di negara ini dan peringkat antarabangsa agar menganjurkan khutbah khas, forum, kuliah serta program kesedaran berkaitan Palestin selain mengaktifkan tabung bantuan kemanusiaan.
“Mimbar masjid tidak boleh terus sepi daripada isu ummah. Jika institusi ini gagal berperanan, ia menggambarkan kelemahan jantung kekuatan umat sendiri,” tegas kenyataan itu.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid; Pengerusi MANAR, Syekh Ahmad Awang; serta Pengerusi SHURA, Abdul Ghani Samsudin. – DETIK MALAYSIA