PETALING JAYA – Rakyat Malaysia kini berdepan realiti baharu apabila krisis tenaga dan makanan dunia semakin meruncing, sekali gus memberi tekanan langsung kepada kos sara hidup.
Konflik geopolitik, perubahan iklim serta gangguan rantaian bekalan global dikenal pasti sebagai punca utama ketidaktentuan ini.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, situasi tersebut bukan lagi ancaman sementara, sebaliknya sudah menjadi krisis berpanjangan.
“Ini bukan krisis yang akan datang, tetapi krisis yang sedang kita lalui sekarang,” katanya.
Menurut beliau, kebergantungan negara kepada import makanan dan harga minyak global menjadikan Malaysia antara yang mudah terdedah kepada kejutan ekonomi luar.
Kenaikan harga minyak dunia memberi kesan berantai kepada kos pengangkutan, pengeluaran dan akhirnya harga barangan di pasaran.
Dalam masa sama, import makanan seperti gandum, daging dan produk tenusu terus memberi tekanan apabila berlaku gangguan bekalan global.
Keadaan itu menyebabkan pengguna berdepan harga makanan semakin mahal, bekalan tidak menentu dan kuasa beli semakin lemah
“Era makanan murah sudah berakhir. Rakyat perlu bersedia dengan realiti baharu ini,” ujarnya.
Sehubungan itu, pengguna disaran mengubah pendekatan daripada bergantung sepenuhnya kepada sistem kepada usaha meningkatkan daya tahan sendiri.
Pendekatan komuniti seperti kebun bersama dan bank makanan juga dilihat mampu membantu.
Penggunaan tenaga secara cekap dan perancangan kewangan yang disiplin menjadi benteng penting menghadapi krisis.
“Setiap ringgit yang dibelanjakan hari ini adalah keputusan strategik untuk kelangsungan hidup,” jelasnya.
Dalam masa sama, kerajaan perlu memperkukuh pengeluaran makanan tempatan, menambah baik subsidi dan melabur dalam tenaga boleh diperbaharui.
Jika gagal bersedia, tekanan kos hidup dijangka terus meningkat.
Namun jika bertindak sekarang, Malaysia berpotensi menjadi masyarakat lebih berdaya tahan.
“Persoalannya bukan sama ada harga akan naik, tetapi sama ada kita sudah bersedia,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JANAAN AI