KUALA LUMPUR – Dakwaan kewujudan sebuah bangunan empat tingkat yang dipercayai dibina tanpa kelulusan sah di Sungai Tekali, Hulu Langat perlu disiasat secara menyeluruh bagi memastikan tiada unsur salah guna kuasa, kecuaian atau pelanggaran undang-undang berlaku.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, isu tersebut tidak seharusnya dilihat dari sudut kaum atau etnik semata-mata, sebaliknya perlu diberi perhatian dari aspek integriti tadbir urus, penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan bangunan.
“Sekiranya benar bangunan itu dibina tanpa kelulusan pelan bangunan, kebenaran merancang atau sijil keselamatan yang diperlukan, timbul persoalan bagaimana sebuah struktur berskala besar boleh wujud dan beroperasi dalam tempoh yang lama tanpa tindakan berkesan daripada pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, MCW turut mengambil maklum bahawa premis berkenaan pernah diserbu dalam operasi bersepadu yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia pada Februari tahun lalu sehingga membawa kepada penahanan puluhan warga asing.
Bagaimanapun, menurut beliau, persoalan utama yang masih belum terjawab ialah mengapa isu tersebut dilihat berlarutan sehingga kini walaupun tindakan penguatkuasaan pernah dijalankan.
Sehubungan itu, MCW menggesa siasatan menyeluruh dilakukan melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT), Pejabat Daerah, Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Selain itu, MCW turut mencadangkan supaya audit integriti dilaksanakan terhadap proses penguatkuasaan yang pernah dijalankan bagi mengenal pasti sebarang kelemahan atau ketirisan.
Pada masa sama, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disaran menjalankan siasatan sekiranya terdapat unsur rasuah, perlindungan atau kecuaian yang membolehkan pembinaan dan pengoperasian bangunan tersebut diteruskan.
MCW juga menekankan kepentingan pendedahan laporan status sebenar bangunan itu kepada orang ramai bagi mengelakkan spekulasi serta sentimen perkauman yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
Jais berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang berteraskan kedaulatan undang-undang dan setiap individu termasuk pemilik tanah, penghuni serta mana-mana pihak berkaitan wajib mematuhi peraturan yang ditetapkan tanpa mengira status kewarganegaraan.
“Tindakan tegas dan telus perlu diambil sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang. Kegagalan bertindak hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan dan pentadbiran awam,” katanya. – DETIK MALAYSIA