PATTANI – Koperasi Homestay Teluk Ketapang (KHTK) bersama Penyelaras Homestay Teluk Ketapang mengadakan Mesyuarat Tahunan Kerjasama Pendidikan (Edu-Tourism) 2026 dengan Jabatan Pendidikan Wilayah Pattani, Selatan Thailand di Pattani baru-baru ini.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Pattani, Dr. Charieft Sueni dan turut dihadiri semua timbalan pengarah, enam ketua sektor, lima Education Supervisor serta Setiausaha Teluk Ketapang Homestay Association (TKHA).
Perbincangan tertumpu kepada pelaksanaan tiga program utama berteraskan Eco-Tourism dan Edu-Tourism yang bakal berlangsung di Kuala Nerus Education Valley, Terengganu pada tahun ini.
Antara program yang dibincangkan ialah Young IMT-GT Islamic Future Leader Summit yang akan diadakan di Homestay Teluk Ketapang dari 2 hingga 5 Ogos depan melibatkan pelajar Tingkatan Enam dan mahasiswa dari tiga negara.
Selain itu, Southeast Asia Olympiad Championship dan Sustainable Tourism Workshop dijadual berlangsung di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada 17 hingga 20 Ogos depan dengan penyertaan murid sekolah rendah dan menengah rendah dari rantau Asia Tenggara.
Sementara itu, Pacific Asia Olympiad Championship and SDGs Workshop akan dianjurkan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada 7 hingga 10 September depan bagi menghimpunkan pelajar sekolah menengah atas dari pelbagai negara.
Dalam mesyuarat tersebut, Jabatan Pendidikan Wilayah Pattani turut menyatakan persetujuan untuk menghantar guru dan pelajar bagi menyertai ketiga-tiga program berkenaan sebagai usaha memperkukuh kerjasama pendidikan serta mengeratkan ukhuwah Islamiah antara kedua-dua pihak.
Kerjasama strategik itu dilihat mampu memperkasakan sektor pendidikan, pelancongan dan pertukaran budaya selain menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026/2027 serta Tahun Melawat Terengganu 2027 melalui program Edu-Tourism dan Eco-Tourism. – DETIK MALAYSIA