PETALING JAYA – Selangor FC menghidupkan kembali perebutan tempat kedua Liga Super 2025/26 selepas membelasah Penang FC 4-0 di Stadium MBPJ, malam tadi.
Skuad kendalian Kim Pan-gon tidak menunggu lama untuk menguasai permainan apabila membuka tirai jaringan seawal minit ke-11 menerusi Moraes.
Selangor terus garang apabila pemain tengah kreatif, Hugo Boumous menggandakan kelebihan hanya empat minit kemudian hasil kesilapan benteng lawan yang gagal dikawal kemas penjaga gol, Ramadhan Hamin.
Tuan rumah menambah derita pelawat pada minit ke-21 apabila Harith Haiqal Adam Afkar menanduk masuk hantaran Boumous untuk menjadikan kedudukan 3-0 sebelum rehat.
Memasuki babak kedua, Penang cuba bangkit dengan kemasukan Douglas Coutinho dan Haziq Kutty Abba, namun usaha itu tidak berhasil apabila Selangor terus menguasai permainan.
Pemain gantian, Alvin Fortes menutup pesta gol tuan rumah menerusi sepakan percuma menarik pada minit ke-62 untuk kedudukan 4-0.
Dengan kemenangan hampir pasti dalam genggaman, Pan-gon kemudian merehatkan beberapa tonggak utama seperti Safuwan Baharudin, Faisal Halim, Boumous dan Noor Al-Rawabdeh.
Penang terus mencuba mencari gol sagu hati, namun gagal menembusi kekebalan pertahanan Selangor yang kekal fokus hingga wisel penamat.
Kemenangan bergaya itu menyaksikan Selangor kembali merampas kedudukan kedua liga dengan 49 mata, sekali gus memberi suntikan moral menjelang aksi separuh akhir Shopee Cup menentang Thep Xanh Nam Dinh FC.
Sebaliknya, kekalahan besar ini menimbulkan persoalan terhadap kelemahan benteng Penang yang terus bergelut apabila berdepan pasukan kelompok atasan. – DETIK MALAYSIA
Kreddit foto – SFC