ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) terus membuktikan keunggulan mereka dalam Liga Super 2025/26 apabila membenam Kuala Lumpur City FC 7-0 di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Skuad Harimau Selatan mempamerkan aksi cukup dominan dari awal hingga akhir, dengan jentera serangan yang tajam serta permainan tersusun yang sukar digugat lawan.
JDT membuka jaringan seawal minit ke-12 menerusi sepakan percuma menarik Ager Aketxe yang menewaskan benteng dan penjaga gol pelawat.
Tuan rumah menggandakan kelebihan pada minit ke-34 hasil jaringan Oscar Arribas yang tidak mampu diselamatkan penjaga gol, Quincy Kammeraad.
Keadaan bertambah sukar buat KL City apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Dmytro Lytvyn dilayangkan kad merah pada minit ke-51.
Mengambil kesempatan itu, JDT terus menggandakan asakan apabila Stuart Wilkin menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-71 hasil penyudah tenang.
Pesta gol sebenar bermula dalam 10 minit terakhir apabila Teto Martin, Ajdin Mujagic, Eddy Israfilov dan Manuel Hidalgo masing-masing mencatat nama sebagai penjaring untuk melengkapkan kemenangan besar 7-0.
Kemenangan bergaya itu mengukuhkan lagi status JDT sebagai pasukan paling dominan musim ini, manakala KL City pula perlu segera memperbaiki kelemahan terutama di bahagian pertahanan selepas dibelasah teruk. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST