JOHOR BAHRU – Ketua jurulatih Buriram United, Mark Jackson menegaskan pasukannya tidak berdepan masalah keyakinan menjelang aksi penting menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam separuh akhir ASEAN Club Championship Shopee Cup 2025/26.
Menurut beliau, meskipun tewas dalam dua perlawanan terakhir Liga Thailand 1 kepada Rayong FC (0-3) dan Port FC (1-3), ia tidak menjejaskan mental pemain untuk menghadapi pertembungan besar itu.
“Tiada sebab untuk keyakinan pemain jatuh walaupun keputusan terakhir tidak memihak kepada kami.
“Saya percaya semua pemain sudah bersedia. Kami perlu menilai semula kesilapan dan perbaiki apa yang perlu,” katanya.
Mengulas mengenai kemungkinan kembalinya tonggak utama JDT, Arif Aiman Hanapi, Jackson bagaimanapun tidak melihat ia sebagai faktor utama yang perlu diberi tumpuan.
“Kami tahu segala-galanya mengenai JDT. Kami juga mempunyai pemain berkualiti dan barisan kejurulatihan yang kuat.
“Kami perlu analisis lawan dengan baik. Tiada pasukan bergantung kepada seorang pemain sahaja, lebih-lebih lagi pasukan seperti JDT.
“Mereka pasukan yang sangat bagus, tetapi kami juga pasukan yang baik dan perlu mengendalikan mereka dengan baik,” ujarnya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – BRUUTD/AFC