GOMBAK – Pasukan ragbi UiTM Lions membuktikan kehebatan apabila menamatkan saingan peringkat kumpulan Kejohanan IIUM Hexangular Rugby 15s sebagai pendahulu selepas mencatat kemenangan ke atas semua lawan di Padang Ragbi UIAM Gombak, di sini.
Skuad kendalian Zamri Abd Kahar itu tampil konsisten dengan merekodkan lima kemenangan bergaya, sekali gus mengesahkan status mereka sebagai pencabar utama kejuaraan edisi sulung kejohanan berkenaan.
UiTM Lions membuka kempen dengan menewaskan IIUM Mustangs 13-5 sebelum menundukkan UPSI Eagles 21-10. Mereka kemudian terus garang apabila membelasah BMI Bumble Bees 41-0, diikuti kemenangan 28-0 ke atas IIUM Stallions dan menutup aksi kumpulan dengan kemenangan 33-0 menentang UM Blues.
Menurut Zamri, kejayaan tersebut berpunca daripada disiplin taktikal serta keserasian tinggi dalam kalangan pemain walaupun pasukan dibarisi ramai muka baharu musim ini.
“Pemain berjaya menunjukkan persefahaman yang baik dan mengikut perancangan taktikal yang ditetapkan. Walaupun ada perubahan dalam pasukan, mereka kekal dengan identiti permainan Lions,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan fokus kini terarah kepada aksi final menentang IIUM Mustangs yang dijadualkan berlangsung pada 9 Mei ini.
“Barisan terbaik akan diturunkan bagi memastikan kami dapat menamatkan kejohanan ini dengan gelaran juara,” ujarnya.
Aksi final itu bakal menyaksikan pertembungan ulangan antara dua pasukan terbaik kejohanan, dengan UiTM Lions berpeluang mengekalkan rekod tanpa kalah sekali gus menjulang trofi sulung di gelanggang sendiri. – DETIK MALAYSIA