SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa agar kehadiran pangkalan tentera Amerika Syarikat di negara-negara majoriti Islam dinilai semula dan ditamatkan kerana didakwa tidak lagi menjamin keselamatan, sebaliknya mencetuskan risiko geopolitik.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, perkembangan konflik melibatkan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran menunjukkan bagaimana wilayah negara Islam boleh menjadi lokasi strategik bagi operasi ketenteraan kuasa luar.
Menurut beliau, kewujudan pangkalan tentera asing di negara seperti Qatar, Bahrain, Kuwait, Arab Saudi, Jordan, Iraq dan Emiriah Arab Bersatu menimbulkan persoalan besar terhadap kedaulatan serta keselamatan serantau.
“Adakah pangkalan ini benar-benar melindungi kedaulatan negara Islam atau sebenarnya menjadikan wilayah tersebut medan kepada konflik kuasa besar?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, kebergantungan terhadap kehadiran tentera asing hanya melemahkan keupayaan negara untuk menentukan hala tuju keselamatan sendiri.
“Keselamatan serantau seharusnya dibina melalui kerjasama, diplomasi, kekuatan ekonomi dan rangka kerja pertahanan bersama, bukan bergantung kepada kuasa luar,” ujarnya.
Menurut beliau, sejarah konflik di rantau Asia Barat termasuk di Iraq, Afghanistan dan Syria menunjukkan campur tangan ketenteraan asing sering membawa kepada kemusnahan, perpindahan penduduk serta ketidakstabilan berpanjangan.
Sehubungan itu, beliau menyeru negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam, negara-negara GCC serta negara Islam di ASEAN untuk menilai semula perjanjian berkaitan penempatan pangkalan tentera asing.
Dalam masa sama, Mapim menekankan keperluan membina sistem keselamatan bebas yang lebih berdaulat, termasuk memperkukuh kerjasama pertahanan serantau dan mengurangkan kebergantungan kepada kuasa besar.
“Negara Islam tidak boleh terus menjadi lokasi tetap bagi operasi ketenteraan luar. Masa depan mesti ditentukan oleh rakyat sendiri berasaskan kedaulatan, perpaduan dan maruah,” katanya.
Mohd Azmi menegaskan bahawa dunia Islam kini berada di persimpangan penting sama ada terus berpecah dan terdedah kepada pengaruh luar atau bangkit membina sistem keselamatan yang bebas dan berdaulat. – DETIK MALAYSIA