BURIRAM – Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah kekal tenang meskipun dikenakan penalti long lap menjelang Perlumbaan 1 pusingan kedua Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2026 di Litar Antarabangsa Chang, Buriram.
Bekas pelumba MotoGP itu menerima keputusan steward secara profesional dan menganggap pematuhan terhadap peraturan adalah sebahagian daripada perlumbaan di peringkat tertinggi.
“Saya rasa ini perkara normal dalam perlumbaan. Kami perlu terima steward menjalankan tugas mereka.
“Saya sangat menghormati peraturan. Tidak banyak yang boleh diperkatakan. Sudah tentu saya ada pendapat sendiri dan mereka juga ada pandangan tersendiri, tetapi pada akhirnya aspek keselamatan adalah keutamaan dan kami perlu belajar daripada situasi seperti ini supaya kesilapan sama tidak berulang,” katanya.
Hafizh mengakui penalti tersebut mungkin menyebabkan dia kehilangan beberapa posisi penting ketika perlumbaan, namun tetap yakin dengan prestasi jentera selepas aksi memberangsangkan sebelum ini.
“Saya akan menjalani penalti long lap dan mungkin kehilangan beberapa posisi, tetapi saya tahu saya mempunyai keserasian yang baik dengan jentera.
“Di Sepang, saya rasa cukup kuat sepanjang minggu perlumbaan dan sekarang kita akan lihat bagaimana keadaan di sini,” ujarnya.
Dalam masa sama, pelumba negara itu turut mengakui keadaan cuaca di Buriram lebih mencabar berbanding pusingan pembukaan di Litar Antarabangsa Sepang.
“Cuaca di sini agak mencabar berbanding Sepang. Mungkin ada sedikit persamaan, tetapi di sini lebih kering dan tahap kelembapannya berbeza,” katanya.
Walaupun berdepan hukuman tersebut, Hafizh menegaskan fokusnya tidak berubah untuk terus memberikan aksi terbaik buat pasukan.
“Saya akan hadapi minggu ini seperti perlumbaan biasa dan fokus satu demi satu pusingan terhadap kelajuan serta rentak saya.
“Saya berada pada tahap kecergasan terbaik, sudah menjalani latihan dengan baik dan bersedia memberikan satu lagi hujung minggu yang positif, khususnya buat pasukan saya,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ARRC