BURIRAM – Pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah memberi amaran awal kepada pencabar lain selepas muncul pelumba terpantas dalam sesi latihan gabungan kategori ASB1000 pada pusingan kedua Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2026 di Litar Antarabangsa Chang, Thailand hari ini.
Mewakili pasukan JDT Racing Team, bekas pelumba MotoGP itu mencatat masa terpantas 1 minit 35.742 saat menggunakan jentera Ducati Panigale V4R menerusi tiga sesi latihan rasmi yang berlangsung.
Hafizh mempamerkan peningkatan konsisten apabila merekodkan masa 1:36.719 pada sesi latihan pertama sebelum memperbaiki catatan kepada 1:36.095 dalam sesi kedua.
Pelumba berusia 31 tahun itu kemudian tampil lebih garang pada sesi ketiga apabila melakukan catatan terbaik 1:35.742 untuk mengungguli kedudukan keseluruhan menjelang sesi kelayakan dan perlumbaan hujung minggu ini.
Pelumba Australia, Rocco Sessler berada di tempat kedua dengan catatan 1:35.888 menggunakan BMW M1000 RR, hanya 0.146 saat di belakang Hafizh.
Seorang lagi pelumba negara, Azroy Hakeem Anuar melengkapkan kelompok tiga terbaik selepas merekodkan masa 1:35.997 dengan jentera Honda CBR1000RR-R.
Turut mencuri tumpuan ialah Muhammad Zaqhwan Zaidi yang menamatkan sesi di kedudukan keempat menerusi catatan 1:36.005, manakala rakan sepasukan Hafizh, Andi Farid Izdihar melengkapkan kelompok lima terbaik.
Pelumba Jepun, Keito Abe menamatkan sesi di tempat keenam diikuti pelumba Australia, Lachlan Epis dan wakil tuan rumah Thailand, Nakarin Atiratphuvapat.
Prestasi cemerlang Hafizh itu sekali gus mengukuhkan momentumnya dalam kempen ARRC musim ini ketika memburu kejuaraan keseluruhan kategori ASB1000.
Sementara itu, pelumba Indonesia, Mohammad Adenanta Putra menamatkan sesi di tempat kesembilan, manakala pelumba Britain, Olly Simpson melengkapkan kelompok 10 terbaik.
Perbezaan masa yang cukup rapat dalam kalangan pelumba utama dijangka menjadikan sesi kelayakan berlangsung sengit apabila setiap pasukan cuba mencari kelebihan di litar berkelajuan tinggi itu. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ARRC