PETALING JAYA – Nafuzi Zain secara rasmi dilantik sebagai ketua jurulatih skuad bawah 19 tahun (B-19) kebangsaan sekali gus menambah tanggungjawab baharu dalam struktur pembangunan bola sepak negara.
Pelantikan itu menamatkan spekulasi mengenai individu yang bakal mengemudi skuad muda Harimau Malaya selepas pemergian jurulatih dari Sepanyol, Juan Torres Garrido yang kali terakhir membimbing pasukan itu pada 2024.
Kekosongan jawatan tersebut sebelum ini hangat diperkatakan susulan kebangkitan skuad B-17 negara kendalian Shukor Adan yang berjaya membawa pasukan mara ke pentas final Kejuaraan ASEAN B-17 2026.
Kejayaan itu secara tidak langsung mencetuskan desakan agar lebih ramai jurulatih tempatan berpengalaman diberi peluang mengendalikan skuad pembangunan negara.
Beberapa nama besar turut dikaitkan dengan jawatan berkenaan termasuk bekas pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe dan bekas pemain kebangsaan, Hairuddin Omar.
Namun, legenda bola sepak negara, Datuk Dollah Salleh menyifatkan Nafuzi sebagai calon paling sesuai berdasarkan pengalaman luasnya membangunkan pemain muda sepanjang karier kejurulatihan.
“Saya harap jurulatih Nafuzi dapat membuktikan kemampuannya kerana bagi saya dia memang layak memegang jawatan ini.
“Peranan ini juga akan menambah lagi pengalaman beliau terutama dalam mengendalikan serta membangunkan pemain muda,” katanya.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan pelantikan itu menerusi kenyataan rasmi sempena majlis undian peringkat kumpulan Kejuaraan ASEAN B-19 2026.
Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Thailand, Singapura dan Brunei bagi kejohanan yang akan berlangsung di Medan, Indonesia dari 1 hingga 13 Jun depan.
Selain Kejuaraan ASEAN B-19, Nafuzi turut dijangka mengetuai persiapan skuad negara menghadapi kempen kelayakan Piala Asia B-20 AFC 2027 yang dianggap sebagai platform penting melahirkan generasi baharu bola sepak negara. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM